Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang
Pemangku Rektor

PROF. MADYA DR. WAN NAZJMI BIN MOHAMED FISOL
Pemangku Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang
Latar Belakang dan Pendidikan
Prof. Madya Dr. Wan Nazjmi Bin Mohamed Fisol dilahirkan di Kampung Pulau Tengah, Pendang, Kedah Darul Aman pada 26 April 1977. Selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah Maktab Mahmud, Alor Setar pada tahun 1997, beliau telah melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Shariah di Universiti Al-Azhar, Mesir sehingga 2001. Setelah itu beliau menyambung pengajian bagi ijazah Sarjana Muda kedua dalam bidang Perniagaan Antarabangsa (Kewangan & Perbankan) di MSU sehingga tahun 2006. Seterusnya menerima Ijazah Sarjana Ekonomi (Kewangan & Perbankan) dari UUM pada tahun 2010 dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam dari UniSHAMS pada tahun 2015.
Kerjaya
Beliau memulakan kerjaya sebagai pensyarah di UniSHAMS bermula pada tahun 2006 di Kulliyyah Muamalat dan juga di bawah Pusat Pengajian dan Penyelidikan Kewangan Islam (CIFER), UniSHAMS. Semasa di UniSHAMS beliau telah memegang beberapa jawatan penting pentadbiran termasuk sebagai Timbalan Dekan Kulliyyah Muamalat, Dekan Kulliyyah Muamalat dan Pengarah Pusat Pengurusan Akademik. Beliau juga pernah menjalankan tugas sebagai Pengarah Pusat Pengurusan Siswazah & Penyelidikan serta menjalankan tugas Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni. Jawatan terakhir beliau di UniSHAMS ialah sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa. Sekarang beliau memegang jawatan sebagai Pemangku Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.
Pengalaman dan Pembentangan
Sebagai ahli Akademik beliau turut dilantik sebagai panel penasihat akademik bagi beberapa institusi di luar. Antaranya adalah sebagai Panel Penilai MQA, Pemeriksa Luar Bidang Pengurusan Islam, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Pembelajaran Profesional (MSU), Panel Pemeriksa Luar Kluster Pendidikan & Sains Sosial (OUM), Senior Felo Akademik Kolej Profesional Baitulmal (KPB) dan Penasihat teknikal Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Vokasional Sungai Petani 2.
Sejak 2006 sehingga kini, beliau aktif membentang kertas kerja, menyampaikan syarahan dalam pelbagai seminar, symposium dan bengkel samaada di peringkat kebangsaan maupun di peringkat antarabangsa. Antara tajuk-tajuk pembentangan beliau adalah seperti “The Engineering of Islamic Legal Opinion (Ijtihad) On the Maqasid Al-Shari‘ah Development in the Assessment of Islamic Financial Products”; “Maqasid Shariah in Corporate Social Responsibility of Shari’ah Compliant Companies”; “Enhancing halal sustainability through Maqasid Shariah framework in malaysian Islamic public equity funds” dan “Financial Technology (FinTech) Services: Analysis from The Perspective of Maqasid Al-Shariah”.
Beliau turut giat terlibat dalam bidang perundingan dan komuniti dalam dan luar negara. Ini termasuklah sebagai ahli kluster penyelidikan Ekonomi & Kewangan Islam di bawah YADIM, ahli kluster penyelidikan wakaf di bawah Jabatan Mufti Negeri Pulau Penang, editor bagi International Journal of Zakat and Islamic Philanthropy (LZNK) dan editor bagi Journal Emerald-Scopus.
Sehingga kini beliau telah berjaya melahirkan hampir seramai 45 orang pelajar samaada di peringkat Ijazah Sarjana maupun di peringkat Ijazah Doktor Falsafah. Sebagai seorang ahli Akademik, kepakaran dan pengkhususan beliau adalah di dalam bidang Maqasid Shariah, Fiqh Muamalat, Kewangan Sosial dan Perbankan Islam.
Hubungi Kami
Kompleks Masjid Negeri, Jalan Air Itam,
11400 Georgetown, Pulau Pinang
+604-835 1689